Sunday 7 April 2013

IKLIM DAN BUDAYA SEKOLAH PENTING DEMI KECEMERLANGAN SEKOLAH

Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) 1981 mendefinisikan iklim sekolah sebagai suasana sekolah yang baik yang keadaan persekitarannya dirasakan selesa, tenteram, mesra, riang dengan pemelajaran yang lancar. Keadaan atau suasana sekolah yang tenang dan nyaman,sesuai untuk proses pengajaran dan pemelajaran yang dianggap sebagai mempunyai iklim sekolah yang berkesan. Howard (1974) pula mendefiniskan iklim sekolah sebagai keadaan sosial dan budaya sekolah itu yang mempengaruhi tingkah laku orang di dalamnya. Tegasnya, iklim dan budaya sekolah memainkan peranan penting untuk memacu kecemerlangan sekolah. Sebagai pemimpin sekolah, perlulah dihidupkan nilai-nilai akidah dan berakhlak supaya murid-murid merasa selamat., sentiasa ingin berbakti dan berusaha untuk maju dalam pelajaran berdasarkan dorongan yang lebih tinggi, iaitu mencari keredaan Allah S.W.T.  dan bukan sekadar untuk menggembirakan  warga sekolah, ibu bapa dan guru. Sebahagian daripada budaya ini dalah bersifat muraqabah, iaitu merasa Allah sentiasa memerhatikan perbuatan mereka untuk dipertanggungjawabkan. Tegasnya, jika  setiap warga sekolah daripada pengetua, guru, kakitangan sokongan sehingga kepada pelajar-pelajar menghayati nilai-nilai akhlak ini, pasti sekolah berkesan dari sudut disiplin akan wujud dan kurang keperluan kepada pengawasan..Bagaimanapun, melihat realiit insan yang mempunyai nafsu, memang masih perlu juga bagi pihak pengurusan sekolah memantau kegiatan dan perilaku murid-murid , khususnya akhlak mereka yang perlu sentiasa dinasihati dan dibimbing
            Schein (1985) mendefinisikan budaya sesebuah organisasi sebagai tanggapan dan kepercayaan yang dikongsi bersama oleh ahli-ahli organisasi, berlaku secara tidak disedari, dan dalam bentuk 'taken-forgranted' sesebuah organisasi itu melihat persekitaran dan dirinya sendiri. Manakala Holly dan Southworth (1989) mentakrifkan budaya sekolah sebagai konteks dan setting sekolah, proses dalamannya dan makna di mana ahli-ahli organisasi menyatakan dunia pekerjaan mereka . Kesimpulannya kedua-dua definisi menunjukkan suatu proses yang berterusan dan bersifat evolusi, dan digerakkan oleh tekanan luaran, potensi dalaman, respon kepada hal-hal kritikal dan faktor-faktor peluang.Peranan penting pemimpin dalam membangunkan budaya yang wajib disedari ialah; pemimpinlah yang menggerak dan mengekalkan wawasan yang jelas, visi yang dikongsi bersama oleh seluruh ahli organisasi sekolah. Sebagai pemimpin budaya sekolah cemerlang dapat diamalkan oleh warga sekolah melalui amalan  berikut:-
        1) Menghargai permuafakatan- melaluinya semua guru mesti mengambil berat terhadap kesihatan sekolah sebagai organisasi. Permuafakatan dapat menghindarkan keterasingan guru, sikap pentingkan diri sendiri sehingga tidak mahu mengakui wujudnya masalah atau tidak mahu melihat masalah orang lain. Tegasnya cara ini mampu menyelesaikan masalah dan membuat keputusan di samping menghargai saling bergantungan dan bantu-membantu sesama staf.
          2)  Memastikan Budaya lebih mirip kepada komuniti berbanding organisasi.Dalam komuniti kejayaan dan kegagalan dikongsi bersama, saling tolong-menolong, dan bertingkah laku menurut norma-norma  dan kepercayaan dalaman. Satu komuniti bertindak berdasarkan teras yang dipersetujui dan berdiri tegas di atas tapak yang satu. Keresahan dan ketidaktentuan tentang apa yang patut dibuat , apa yang tidak patut dibuat, apa yang wajar dan tidak wajar, tidak wujud. Guru-guru tidak hilang punca dengan hal-hal yang tidak dijangka atau perkara-perkara bukan rutin , tidak juga menyalahkan orang lain jauh sekali daripada memejamkan mata kepada situasi-situasi yang bermasalah. Sebaliknya guru-guru mempamerkan sikap keyakinan yang tinggi, mereka tahu di mana mereka berpijak dan langit mana yang mereka junjung.
          3) Menerapkan keyakinan guru agar penuh yakin dalam tugasnya setiap hari, mereka lebih bersedia menerima cabaran-cabaran ,mengambil risiko, dan melahirkan idea-idea kreatif serta rumusan-rumusan. Ekoran daripada keyakinan ini akan wujud optimisme dan iltizam. Tempat kerja menjadi lebih menyeronokkan smentara guru-guru mendapat penyempurnaan dan kepuasan profesionalismedaripada kerja-kerja mereka menerusi kawalan kepada penyelesaian masalah dan membuat keputusan, sokongan dari rakan sejawat dan bertambahnya peluang-peluang belajar dengan berkongsi pengetahuan dan pengalaman serta kepakaran.
      Selain itu, suasana sekolah yang mencerminkan ciri keislaman yang sebenar, boleh menyediakan persekitaran harmoni dan melahirkan kasih sayang. hormat-menghormati serta pelaksanaan aktiviti pendidikan yang membawa kepada kejayaan sahsiah dan pencapaian murid-murid. Pengetua yang memimpin guru-guru ,menjadi penyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran serta menjadi pencetus, penggerak dan pembina tamadun Islam.
         Kesimpulannya tidak dinafikan iklim dan budaya ibarat irama dan lagu yang mesti berpadu dalam memelodikan kecemerlangan sekolah. Tanpanya ibarat masakan tanpa perasa yang tentunya memberikan impak terhadap warga dan penggemarnya.

No comments:

Post a Comment