Friday 12 April 2013

Perbelanjaan MARA kepada pelajar-pelajar MRSM.Apa pengukurannya?

Membicarakan tentang ukuran dan jumlah perbelanjaan yang dilaburkan oleh MARA demi memastikan survival kecemerlangan MRSM tentunya wajar dirujuk kepada pihak yang bertanggungjawab dalam mengendalikan serta menguruskan perbelanjaan tersebut. Namun jika pihak tersebut dirujuk, tentunya sejumlah nilai ringgit berserta pecahan kewajaran dapat dibuktikan. Apa pun bagi saya jumlah sebenar perbelanjaan yang diberikan kepada pelajar MRSM sebenarnya bergantung kepada apakah nilai kecemerlangan yang dapat dipamerkan oleh pelajar tersebut. Berdasarkan pemerhatian dan melalui kajian sejak mula berkhidmat dengan MARA, tidak dapat disangkal perbelanjaan yang dicurahkan sebenarnya berbaloi dengan kecemerlangan serta kegemilangan berganda yang dicipta sejak awal penubuhannya sehinggalah kini. Mengambil beberapa tokoh dalam bidang-bidang tertentu seperti koporat dan keusahawanan nama-nama seperti Dato Wahid (CEO Maybank) ,Dato Kamaruddin ( Air Asia) dan lainnya.Di peringkat MRSM contohnya MRSM Kuantan dan Pengkalan Chepa telah mengharumkan nama negara di Geneva Palexpo Exhibitions and Inventions, Switzerland pada 18 hingga22 April 2012. Melaluinya 2 pelajar telah merangkul pingat emas menerusi produk mesra alam daripada ladang. Sementara itu dalam satu lagi peringkat antarabangsa MRSM Terendak juga merangkul 2 pingat emas melalui pertandingan International Youth Invention Ehibition (IYIE) di Tainan, Taiwan pada 10 hingga 13 Februari 2012.Semuanya membuktikan MRSM sebahagian dari dunia pendidikan global. Setidak-tidaknya MARA telah berjaya mencorakkan pelajarnya untuk mencipta gelombang kebangkitan anak-anak bumiputera untuk terus berdaya saing pada peringkat global. Justeru , acuan yang dicipta telah berjaya menghasilkan kuih yang mampu menarik perhatian pihak berwajib bahawa MARA sebenarnya telah berjaya menaikkan anak bangsa kemercu kejayaan.Seharusnya dan wajarlah madu dibalas madu yang diselami zafaran!
      Penubuhan MRSM pada peringkat awal dengan acuan tersendiri telah membuktikan sistem terbeza MRSM sejak dahulu hingga kini telah menambat hati setiap warga di negara ini untuk berlumba-lumba menghantar anak mereka ke institusi ini. Berdasarkan laporan pihak Bahagian Pendidikan Menengah MARA setiap tahun puluhan ribu permohonan memasuki MRSM diterima. Sambutan dan harapan ini mendorong pihak MARA menambah bilangan MRSM yang jumlahnya sehingga kini menjangkau 46 buah. Tegasnya , bilangan penubuhan  MRSM yang bertambah serta tahap dan kualiti kecemerlangan yang tinggi membuktikan padi yang telah menghasilkan beras yang bermutu tinggi. Sebagai peneraju kecemerlangan yang bermatlamat menakluk global MRSM mampu mencorakkan wadah pendidikan di negara ini ke persada antarabangsa

Tuesday 9 April 2013

ROL PENGETUA DALAM PENAMBAHBAIKAN SEKOLAH

Pengetua sentiasa disifatkan sebagai pemimpin sekolah kerana kedudukan dan jawatannya yang berwibawa. Merujuk pendapat Morgan dan Hall (1982) yang telah membuat analisis peranan pengetua dan juga telah mengkategorikan peranan-peranan pengetua kepada tiga kategori utama dan satu kategori tambahan:-

  1.  Profesional pendidikan-merujuk kepada pengetahuan, kemahiran dan kepakaran teknikal berkaitan dengan pendidikan yang meliputi tugas-tugas menetap matlamat, kurikulum dan pengurusan sumber fisikal.
  2. Pengurusan operasi-merujuk kepada tugas-tugas seperti merancang, mengorganisasi, mengawal dan menyelaras; pengagihan tugas;penilaian pengajaran dalam bilik darjah; dan penyelenggaran sumber fizikal sekolah.
  3. Pengurusan manusia-merujuk kepada tugas motivasi kakitangan akademik dan pelajar;perkembangan kakitangan;resolusi konflik; dan komunikasi
  4. Pengurusan luaran-merujuk kepada hubungan  antara sekolah dengan komuniti dan akauntabiliti, melibatkan tugas mengekalkan hubungan baik lagi mesra dengan komuniti, dan berakauntabiliti kepada lembaga pengarah sekolah, pejabat pelajaran daerah dan komuniti; serta hubungan dengan agensi-agensi luaran yang ada hubungan dengan sekolah seperti pembekal bahan pendidikan dan sebagainya
     Bersandarkan kepada pendapat tersebut rol pengetua dalam penambahbaikan sekolah akan dapat dicapai dan memenuhi matlamat jika keempat-empat prinsip tersebut dapat dijana dengan baik. Justeru, pengetua perlu melakukan proses penarafan pengupayaan sekolah. Inisiatifnya itu melibatkan proses mengenal pasti kelemahan serta punca yang menyebabkan sekolah tidak berkesan atau berjaya.Proses dan prosedurnya itu sekurang-kurangnya dilakukan melalui aktiviti kajian tindakan, program pembetulan dan penambahbaikan yang direncanakan bersama-sama dengan guru dan stafnya perlu dijadikan panduan untuk tindakan.Jika tidak sedemikian dilaksanakan mengenai perkara-perkara seperti yang disebutkan, segala usaha yang dijalankan  oleh pihak sekolah bagi memperbaiki keadaan yang ada , mungkin hanya merupakan usaha yang sia-sia dan boleh menambahkan bebanan kerja guru.
       Usaha untuk menjayakan matlamat kualiti pendidikan sekolah perlu ditari secara agresif oleh pengetua melalui komitmen guru yang dapat ditunjukkan dengan tingkah laku kepemimpinannya. Sekolah sebagai sebuah organisasi yang mengandung guru-guru dan staf perlu bekerjasama sebagai satu pasukan untuk bergerak dan memandu ke arah sekolah berkesan. Unsur komitmen guru dan staf sokongan ini amat kritikal dalam menentukan kejayaan perubahan yang dihasratkan. Walaupun inisiatif dan dasar standard kualiti pendidikan ini datang dari polisi pendidikan yang ditentukan oleh peringkat atasan (KPM) iaitu bersifat luaran, namun hasrat tersirat(dalaman) adalah untuk menggerakkan sekolah melalui kepemimpinan efektif pengetua ke arah menjadikan persekolahan lebih berkesan dari segi hasilan atau 'outcome', proses dan penambahbaikan berterusan.
       Tegasnya, konsep dan amalan pengurusan kualiti yang diamalkan oleh pengetua di sekolah merupakan 'senjata' utama untuk memperbaiki kualiti pendidikan dan meningkatkan keberkesanan sekolah..Elemen-elemen penting yang diperlukan perlu diperhalusi dan dijaga dengan sebaiknya.
-

Sunday 7 April 2013

PERUBAHAN DAN SEKOLAH BERKESAN SERTA PENAMBAHBAIKAN

Perubahan dan pembaharuan di dalam bidang pendidikan negara berlaku begitu pesat sejak beberapa dekad yang lalu telah emberikan dampak yang bukan sedikit terhadap keseluruhan perancangan, pembangunan , dan prestasi melibatkan semua peringkat dan tahap pendidikan  sama ada pendidikan rendah, menengah atau pun pendidikan tinggi. Isu-isu pendidikan tidak jemu-jemu dan tidak putus-putus diperkatakan dan dibahaskan oleh semua lapisan masyarakat menggambarkan bahawa pendidikan adalah satu aspek yang amat penting dalam pembinaan satu negara bangsa yang bersatu, bersetia beretika dan beragama , berkeupyaan dan berketrampilan memainkan peranan aktif dan poduktif dalam masyarakat antarabangsa.
    Perubahan ini semuanya ini bermula dari satu tempat yang dinamakan sekolah. Inilah tempatnya kalau kita mahu ianya diberi nama jolokan sebagai kilang mendidik dan membangun insan. Sekolah tidak sahaja dijangkakan menghasilkan produk dalam bentuk insan yang berilmu pengetahuan dan berkemhira yang relevan dengan kehidupan dan zaman tetapi lebih dari itu adakah insan-insan ini benar-benar terdidik dlam erti kata menjadi insan yang berperikemanusiaan, berhati perut dan berperasaan, berbudi dan berakal, berani menegakkan kebenaran dan membasmi kemungkaran, seorang yang soleh lagi muslih, dan tunduk dan patuh kepada khaliknya, Allah yang Maha Besar. Justeru, jika pendidiknya tidak memiliki semua terma syarat di atas, apakah mungkin kilang tersebut mampu menghasilkan produk yang menepati piawaian yang diharapkan oleh masyarakat kini.
    Harapan dan jangkaan ibu bapa dan penjaga khasnya serta masyarakat amnya hari ini terhadap prestasi dan kecemerlangan sekolah tidak dapat dipandang remeh lagi. Setiap ibu bapa mengharapkan segala yang terbaik bagi pendidikan anak-anak mereka daripada pihak sekolah.Sekarang pun sudah berlaku terdapatnya ibu bapa yang terlalu memilih sekolah. Mengapa wujud kecenderungan ini? sedarkah kit bahawa suatu masa nanti akan berlaku fenomena ada sekolah-sekolah dikategorikan sebagai sekolah' laris' sederhana laris' atau 'sekolah tak laku'. Malahan kini pun sudah ada sekolah yang dikelompokkan atau kluster berdasarkan kecemerlangannya. Apa nasib sekolah-sekolah seperti dikategorikan sebagai hidup segan mati tak mahu atau sekolah yang dilabel lebih baik mati daripada hidup khususnya di pedalaman Sabah dan Sarawak. Di sini , warga sekolah mesti berubah dan betulkan niat utamanya. Apa yang pasti, jika pihak PPD atau JPN tidak bersungguh-sungguh atau masih lagi melakukan lawatan sambil membeli-belah dan bersantai, maka jangan harapkan warga sekolah boleh berubah. Tidak cukup wang ditaburkan sebagai motivasi tapi yang lebih penting hubungan erat dan berpanjangan serta pihak ini mesti memastikan guru tersebut berada pada tahap yang maksimum sebagai guru bukannya mangsa hasutan politik kepartian dan nafsu syaitan sesetengah pihak yang tidak memikirkan erti pendidikan dan saksma nasib anak bangsa. Ingatlah kita di dunia terus dicerap oleh Yang Maha Kuasa.
    Sebagai pemimpin sekolah atau pemimpin transformasional mestilah berkeupayaan dan mampu menangani perubahan, walaupun ianya tidak popular tetapi amat krtkal dan genting dalam konteks meningkatkan imej dan seterusnya keberkesanan sekolah secara menyeluruh dalam semua aspek klim dan budaya sekolah.Pemimpin sekolah mestilah mengenal pasti penyakit-penyakit yang sedang menular dalam kalangan staf atau kakitangan terutamanya yang perlu dibanteras dn diperbetulkan kiblat da arahnya supaya semua orang tidak tersasar daripada tugas hakiki dan bagi mendapatkan  sepenuh komitmen merealisasikan  sekolah berwatak dan berkesan ini. Menangani perubahan dan mendapatkan komitmen padu seluruh ahli organisasi adalah salah satu cabaran besar yang perlu dihadapi dan diatasi jika kita mahu melihat kejayaan dan keberkesanan program pembangunan yang dilakukan. Segala-galanya hendaklah diurus dan ditangani dengan bijak dan penuh hikmah.
     Konsep keberkesanan sekolah telah dilihat oleh Cuttance (1987) sebagai terdiri daripada dua dimensi, iaitu kualiti dan ekuiti. Keberkesanan sekolah juga dikaitkan dengan tahap pencapaian sesebuah sekolah. Creemers (19940 merumuskan pertalian faktor berikut dengan pencapaian iaitu:-
      a) Kepimpinan pendidikan yang kukuh.
      b) Ekspektasi yang tinggi terhadap pencapaian pelajar.
      c) Penekanan terhadap kemahiran asas.
      d) Iklim sekolah yng teratur dan selamat.
      e) Penilaian yang kerap terhadap kemajuan pelajar.

     Menurut Gray (1996) terdapat beberapa cabaran untuk menggabungkan ilmu kedua-dua konsep keberkesanan dan penambahbaikan sekolah kerana keberkesanan berfokuskan kepada ukuran hasil sementara penambahbaikan berfokuskan kepada proses perubahan dalaman. Manakala Alma Harris (2002) menyatakan penambahbaikan sekolah merupakan usaha yang berkaitan untuk menjadikan sekolah sebagai tempat yang lebih baik (dari keadaan yang sedia ada) untuk murid-murid dan untukmereka belajar. Pada asasnya penambahbaikan sekolah adalah pembangunan komuniti sekolah dan establishing perhubungan positif di dalam sekolah.

REFLEKSI DAN MODEL SEKOLAH BERKESAN

Pemelajaran pada 23 Mac berkisar tentang sekolah berkesan. Mengikut fahaman saya sekolah berkesan semestinya mengikut acuan negara yang berlandaskan aspirasi yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan negara.Berdasarkan kuliah yang diberikan terdapat pelbagai tafsiran mengenai sekoah berkesan ini. Sergiovanni (1987) mendefinisikan sekolah berkesan berasaskan peningkatan sekolah. Terdapat lapan kriteria untuk mengukur keberkesanan menurutnya seperti:-
  a) Peningkatan skor ujian
  b) Peningkatan dalam kehadiran
  c) Pertambahan dalam bilangan tugasan penulisan dan kerja rumah
  d) Pertambahan peruntukan masa mata pelajaran matematik, bahasa Inggeris, Sains dan Sejarah
  e) Penglibatan komuniti dan ibu bapa
  f) Penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum
  g) Ganjaran dan pengiktirafan bagi pelajar dan guru.
  h) Sokongan yang berkualiti untuk pelajar istimewa
 
Levine dan Lezotte (1990) melihat sekolah berkesan dari  segi hasil yang dikehendaki (outcome). Manakala Edmonds (1979) mendefinisikan keberkesanan bukan sahaja dari segi kualiti hasil tetapi juga dari kesaksamaan (equity). Mengikut beliau keberkesanan sekolah diukur berdasarkan kejayaannya meningktkan penguasaan akademik kanak-kanak kurang beruntung sehinggakan kadar bilangan anak-anak kurang beruntung yang menguasai akademik yang sama seperti bilangan anak-anak kelas menengah yang menguasainya.
    Sesungguhnya, apa yang telah dinyatakan oleh pensyarah dalam kuliah pada kali ini lebih memberikan kefahaman kepada saya tentang konsep sekolah berkesan. Berada di MRSM Tawau walaupun berbeza dengan kehendak dan pengertian KPM tentang kriteria yang diguan pakai dalam  menjelaskan konsep dan definisi namun berdebat mengenainya tiada penghujungnya. Kesimpulannya saya memahami sekolah berkesan sebagai sekolah yang menterjemahkan konsep kesaksamaan .Pelajar kurang beruntung diberi peluang meningkat dalam semua aspek perkembangan melalui program pengayaan bagi mereka. Sekolah beresn juga mesti memupuk perpaduan melalui kurikulum, proses pengajaran dan pemelajaran, amalan-amalan yang menggalakkan rasa hormat-menghormati dan kerjasama antara satu dengan yang lain. Sekolah memainkan peranan yang berkesan dalam melibatkan ibu bapa, bukan hanya melalui PIBG tetapi juga melalui usaha bersendirian dan berkelompok yang melibatkan guru, pelajar, ibu bapa, komuniti dan pengetua.
      Sepanjang 4 tahun bertugas di MRSM Tun Mustapha, Tawau, sekolah ini menggunakan model Kepuasan. Hal ini demikian kerana masyarakat di sini memang tertunggu-tunggu penubuhan sebuah MRSM setelah hampir 40 tahun lamanya. Pewujudannya telah memberikan impak besar terhadap peningkatan kualiti dan kepuasan masyarakat setempat yang begitu dahagakan infrastruktur lengkap dan sempurna. Apatah lagi terdengarnya kejayaan MRSM yang melahirkan pelajar cemerlang bumiputera di Semenanjung. Memang diakui walaupun sepanjang 4 tahun penubuhannya, Tun Mustapha telah menjuarai 3 kali berturut-turut dalam keputusan SPM peringkat Borneo ianya menjelaskan lagi bahawa masyarakat sangat berpuas hati dengn sistem yang diguna pakai di MRSM ini. Apa pun jika dinilai , memang ada benarnya, Jika dibuat perbandingan tentang infrastrukur sekolah dan kemudahan frasarannya berbanding dengan seklah-sekolah kementerian pelajaran ianya ibarat jauh panggang dari api. Tidak perlu melihat lebih jauh, berdepan dengan MRSM ini masih ada bangunan sekolah menengah yang dibina di bawah peruntukan bank dunia era zaman 70-an. Jangan dikira kemudahan elektrik dan airnya yng merupakan kemudahan asas, masalah kemudahan belajarnya juga seperti berada di egara Afrika. Mungkin rasa tidak puas hati inilah yang menyebabkan masyarakat setempat begitu mengalu-alukan kewujudan MRSM dan tidak hairanlah kuasa politik begitu mendesak sehinggakan tertubuhnya sebuah lagi MRSM di Sandakan dan 100km dari Tawau juga mendesak sebuah MRSM Ulu-Albab di Semporna. Apa pun percaturan politik sebenarnya lebih diyakini rakyat dan angin perubahan yang tidak menentu di negeri bawah bayu ini berjaya meniupkan 3 buah MRSM secara hampir serentak dalam jangka masa 10 tahun. Siapa sangka kepuasan dan keberkesanan berkait rapat jika kipas politik berjaya digerakkan dengan saksama.
   Kesimpulannya, penubuhan kesemua MRSM ini telah memberikan satu anjakan baharu dalam dunia pendidikan di sebelah sini. Tanda-tanda kesedaran telah wujud walaupun pihak KPM masih takut-takut dengan bayang-bayang sendiri. Model kepuasan telah berjaya menjadikan MRSM Tun Mustapha menjadi penanda aras kepada setiap sekolah di Borneo. Sesungguhnya jika kita berusaha untuk fokus kepada matlamat yang asal ianya akan mudah dicapai walaupun masih banyak lagi rintangan di hadapannya. Kita perlu hidupkan lilin yang satu dulu barulah bercerita tentang realiti yang terang.

IKLIM DAN BUDAYA SEKOLAH PENTING DEMI KECEMERLANGAN SEKOLAH

Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) 1981 mendefinisikan iklim sekolah sebagai suasana sekolah yang baik yang keadaan persekitarannya dirasakan selesa, tenteram, mesra, riang dengan pemelajaran yang lancar. Keadaan atau suasana sekolah yang tenang dan nyaman,sesuai untuk proses pengajaran dan pemelajaran yang dianggap sebagai mempunyai iklim sekolah yang berkesan. Howard (1974) pula mendefiniskan iklim sekolah sebagai keadaan sosial dan budaya sekolah itu yang mempengaruhi tingkah laku orang di dalamnya. Tegasnya, iklim dan budaya sekolah memainkan peranan penting untuk memacu kecemerlangan sekolah. Sebagai pemimpin sekolah, perlulah dihidupkan nilai-nilai akidah dan berakhlak supaya murid-murid merasa selamat., sentiasa ingin berbakti dan berusaha untuk maju dalam pelajaran berdasarkan dorongan yang lebih tinggi, iaitu mencari keredaan Allah S.W.T.  dan bukan sekadar untuk menggembirakan  warga sekolah, ibu bapa dan guru. Sebahagian daripada budaya ini dalah bersifat muraqabah, iaitu merasa Allah sentiasa memerhatikan perbuatan mereka untuk dipertanggungjawabkan. Tegasnya, jika  setiap warga sekolah daripada pengetua, guru, kakitangan sokongan sehingga kepada pelajar-pelajar menghayati nilai-nilai akhlak ini, pasti sekolah berkesan dari sudut disiplin akan wujud dan kurang keperluan kepada pengawasan..Bagaimanapun, melihat realiit insan yang mempunyai nafsu, memang masih perlu juga bagi pihak pengurusan sekolah memantau kegiatan dan perilaku murid-murid , khususnya akhlak mereka yang perlu sentiasa dinasihati dan dibimbing
            Schein (1985) mendefinisikan budaya sesebuah organisasi sebagai tanggapan dan kepercayaan yang dikongsi bersama oleh ahli-ahli organisasi, berlaku secara tidak disedari, dan dalam bentuk 'taken-forgranted' sesebuah organisasi itu melihat persekitaran dan dirinya sendiri. Manakala Holly dan Southworth (1989) mentakrifkan budaya sekolah sebagai konteks dan setting sekolah, proses dalamannya dan makna di mana ahli-ahli organisasi menyatakan dunia pekerjaan mereka . Kesimpulannya kedua-dua definisi menunjukkan suatu proses yang berterusan dan bersifat evolusi, dan digerakkan oleh tekanan luaran, potensi dalaman, respon kepada hal-hal kritikal dan faktor-faktor peluang.Peranan penting pemimpin dalam membangunkan budaya yang wajib disedari ialah; pemimpinlah yang menggerak dan mengekalkan wawasan yang jelas, visi yang dikongsi bersama oleh seluruh ahli organisasi sekolah. Sebagai pemimpin budaya sekolah cemerlang dapat diamalkan oleh warga sekolah melalui amalan  berikut:-
        1) Menghargai permuafakatan- melaluinya semua guru mesti mengambil berat terhadap kesihatan sekolah sebagai organisasi. Permuafakatan dapat menghindarkan keterasingan guru, sikap pentingkan diri sendiri sehingga tidak mahu mengakui wujudnya masalah atau tidak mahu melihat masalah orang lain. Tegasnya cara ini mampu menyelesaikan masalah dan membuat keputusan di samping menghargai saling bergantungan dan bantu-membantu sesama staf.
          2)  Memastikan Budaya lebih mirip kepada komuniti berbanding organisasi.Dalam komuniti kejayaan dan kegagalan dikongsi bersama, saling tolong-menolong, dan bertingkah laku menurut norma-norma  dan kepercayaan dalaman. Satu komuniti bertindak berdasarkan teras yang dipersetujui dan berdiri tegas di atas tapak yang satu. Keresahan dan ketidaktentuan tentang apa yang patut dibuat , apa yang tidak patut dibuat, apa yang wajar dan tidak wajar, tidak wujud. Guru-guru tidak hilang punca dengan hal-hal yang tidak dijangka atau perkara-perkara bukan rutin , tidak juga menyalahkan orang lain jauh sekali daripada memejamkan mata kepada situasi-situasi yang bermasalah. Sebaliknya guru-guru mempamerkan sikap keyakinan yang tinggi, mereka tahu di mana mereka berpijak dan langit mana yang mereka junjung.
          3) Menerapkan keyakinan guru agar penuh yakin dalam tugasnya setiap hari, mereka lebih bersedia menerima cabaran-cabaran ,mengambil risiko, dan melahirkan idea-idea kreatif serta rumusan-rumusan. Ekoran daripada keyakinan ini akan wujud optimisme dan iltizam. Tempat kerja menjadi lebih menyeronokkan smentara guru-guru mendapat penyempurnaan dan kepuasan profesionalismedaripada kerja-kerja mereka menerusi kawalan kepada penyelesaian masalah dan membuat keputusan, sokongan dari rakan sejawat dan bertambahnya peluang-peluang belajar dengan berkongsi pengetahuan dan pengalaman serta kepakaran.
      Selain itu, suasana sekolah yang mencerminkan ciri keislaman yang sebenar, boleh menyediakan persekitaran harmoni dan melahirkan kasih sayang. hormat-menghormati serta pelaksanaan aktiviti pendidikan yang membawa kepada kejayaan sahsiah dan pencapaian murid-murid. Pengetua yang memimpin guru-guru ,menjadi penyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran serta menjadi pencetus, penggerak dan pembina tamadun Islam.
         Kesimpulannya tidak dinafikan iklim dan budaya ibarat irama dan lagu yang mesti berpadu dalam memelodikan kecemerlangan sekolah. Tanpanya ibarat masakan tanpa perasa yang tentunya memberikan impak terhadap warga dan penggemarnya.

Sunday 17 March 2013

KEMAMPUAN PENGETUA MEMIMPIN SEKOLAH TANPA KUASA DAN KEDUDUKAN

Perbincangan ini berkait rapat dengan peranan pengetua sebagai pembimbing komuniti pemelajaran di sekolah. Sebagai pembimbing, pengetua mempunyai kuasa mengerak hala tuju pemelajaran ahli komuniti di sekolah .Tegasnya pengetua perlu menunjukkan kepimpinan dan bimbingan yang menyakinkan dengan mewujudkan peraturan dan undang-undang yang dapat memberi kawalan kepada proses pemelajaran yang berkesan pada semua peringkat. Bersandarkan topik perbincangan di atas, situasi pengetua tanpa ditentukan kuasa dan kedudukan tentunya ibarat ayam kehilangan tajinya. Walaupun dalam konteks global, peranan taji kepada ayam hampir dilupakan dek kerana generasi kini lebih suka bercakap dan merujuk semantik so good untuk merujuk kepada ayam yang sedap dan lazat hakikat dalam peradaban Melayu seseorang memerlukan ketua untuk memimpin dan memandu ke arah kejayaan.. Jika ditakdirkan kuasa pengetua hilang maka nilai dan rasa hormat komuniti tentu tidak setinggi seperti sebelumnya.Justeru, segala perencanaan akan terbatas dan sukar untuk mencapai matlamat. Fitrah manusia memerlukan motivasi dan bimbingan . Dalam konteks pendidikan negara, jawatan pengetua serta rolnya telah ditentukan melalui kuasa-kuasa yang termaktub dan memainkan peranan tersendiri dalam memacu arah jaya sesebauh sekolah

Apabila berbicara mengenai kemampuan, kita perlu merujuk kepada sejauh manakah sekolah  berperanan sebagai sekolah komuniti. Bersandarkan 5 prinsip yang dinyatakan dibawah ini, saya merasakan pengetua layak dikatakan mampu dalam mendepani permasalahan sekolah.

  1.  Komuniti dapat dikenali melalui kepercayaan yang dipegang dan dikongsi bersama oleh semua ahlinya
  2.  Tahap interaksi dan penglibatan yang tinggi dalam kalangan ahli komuniti. Interaksi yang berkesan      dalam komuniti membentuk rasa bertanggungjawab, dedikasi dan melambangkan identiti komuniti itu.
  3. Semua ahli dalam komuniti menunjukkan hubungan saling bergantunganantara satu sama lain yang mendukungrasa saling percaya dan saling memerlukan.
  4. Komuniti juga menunjukkan pertimbangan pada keperluan setiap ahlinya.
  5. Hubungan yang bermakna penting bagi diwujudkan dalam komuniti yang mempunyai matlamat dan hala tuju yang sama 
Kesimpulannya,  tahap kemampuan pengetua juga patut dinilai melalui kesanggupan pengetua untuk menerima 5 prinsip yang dinyatakan di atas. Tanpa sikap berlapang fikiran dan bercampur dengan fikiran positif kemampuan yang kita harapkan akan bertukar menjadi kempunan. Jika ini terjadi nescaya komuniti sekolah menjadi sempadan yang tidak bertepi

Monday 4 March 2013

NASIB PERWIRA KITA

Baru sahaja sampai ke Tawau dari Semporna. Situasi perintah separa berkurung di Semporna kin masuk hari ketiga. Namun kerana tugas di Tawau, keadaan genting tersebut cuba dilalui walau rasa bimbang dan curiga tetap ada. Peristiwa anggota PDRM terkorban di Kg Simunul membuktikan api masih membara di dalam sekam. Sikap kepuakan yang eksterimis etnik Sulu terhadap sultannya tetap ada dan pagar yang kita dirikan kepada etik tersebut dibalas dengan tuba yang tidak sedikit warnanya yang membusuk. Dahlah hampir 3 dekad kerajaan memberikan IC dan kerakyatan serta yang terbaharu BRIM maka anjing yang tersepit itulah yang mengigit lantas menggongong tulangnya. Lantas terjadilah pertempuran yang maha dasyat 2 hari lalu di kampung tersebut.Tak perlu cerita apa yang terjadi kepada perwira kita sehari semalam baru dapat di bawa keluar jenazahnya. Sangat tragis! Anjing inilah yang membuatkan seluruh warga Semporna termasuk warga pendidik dari Semenanjung tidak kerauan di buatnya. Ramai yang telah bercuti dan tidak sanggup menghadapi situasi genting ini.

Semalam, ketumbukan kereta perisai dilihat masuk ke LD dan Semporna. Ini memberi pengertian, bahawa perjuang yang getir masuk ke babak yang lebih dramatik. Sehingga kini belum ada lagi serangan kali kedua di LD tetapi serangan di Semporna  2 hari lalu katanya akan menerima serangan balas etnik sulu walaupun kabar utusan namun perlu diberi perhatian dalam keadaan sedemikian..Kampung Simunul kini dikosongkan. Warganya ditempatkan di sekolah kebangsaan Simunul (macam mangsa banjir dah lak). Bayangkan perkampungan Simunul yang terdiri dari Sri jaya, Simunul dan 1 lagi lupa la pulak kini menjadi api yang membara dan mengorbankan perwira kita. Tanpa pemantauan dan penambahbaikan pihak majlis daerah Semporna bara ini bisa memusnahkan perpaduan dan warga Semporna hingga menjadi rentung. Salah siapa memberi kerakyatan melulu kepada etnik yang sumpah setianya dicurigai terhadap negara. Apa pun untuk menjadikan nasi tersebut lebih enak, sesuatu perlu dilakukan dalam membanteras amalan rasuah dalam kalangan pihak berkuasa di sini termasuk imigresen, kastam dan pihak polis juga yang mengejutkan pihak PPD sendiri