Thursday 28 February 2013

HARI JUMAAT : UNTUK SIAPA?

Jam menunjukkan pukul 10.30 pagi bermakna setengah jam lagi warga Tawau yang beragama Islam akan ke masjid menunaikan solat Jumaat. Perbezaan masa hampir sejam Sabah dengan tanah Semenanjung membuat jadual waktu pemelajaran di bahagian Tawau memerlukan penelitian yang rapi apatah lagi suasana bekrja pada hari Jumaat menuntut warga MRSM dihambat waktu terutama kaum musliminnya yang terpaksa pergi lebih awal, kalau tidak bawah payung mentarilah jawabnya solat Jumaat. Saat ini sekatan jalan raya oleh pihak polis kiri dan kanan jalan di ruang keluar MRSM masuk minggu ketiga.Sejak gerombolan pengikut kesultanan Sulu menjejaki dan menawan dengan senang dan lenang wilayah Sahabat, sejak itulah warga Bahagian Timur Sabah ini runsing, pening, dan berpusing-pusing dibuatnya. Keadaan jalan raya yang sempit ditambahbaikan pula dengan sekatan yang memuncak pada waktu puncak menyebabkan sudah hampir tak nampak jalan untuk dilalui. Apa pun, itulah hakikatnya, dalam suasana hari Jumaat di tengah payung mentari pihak polis dengan tugasnya, dan saya perlu lebih bersedia sabar dan cuba memahami makna pertuturan dialek Sabah ini setakat mana yang termampu. Hati perlu disepuh dengan iman yang padu untuk reda dengan segala yang dikurniakan kepada kita. Cuma mungkin tibalah masanya kita sebagai umat Islam lebih menambahbaikan hari kita dengan menjadikan hari Jumaat sebagai benar-benar hari bagi kita. Bukan sekadar cuti tetapi umat perlu dibiuskan mindanya dengan hari Jumaat hari untuk umat Muhammad maka bersegeralah ke masjid dan tinggalkanlah tugas kita. Nak cuti lagi baik. Jangan hanya anjakan berlaku dalam pendidikan semata-mata tetapi pentingnya hari dan keutamaan hari umat Islam juga berlu ada anjakan dan perubahan. Apa fikir kita.

Wednesday 27 February 2013

PBS (Penilaian Berasaskan Sekolah)

PBS satu jenama baharu dalam anjakan paradigma kelangsungan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Kelancarannya sedang diperhatikan. Apa tidaknya bagi warga kementerian pelajaran, PBS lebih sinonim dengan " Puuhh Bebannya Sekolah" dengan longgokan fail-fail yang berjenama tersendiri dan eviden-eviden yang perlu disedaikan semasa menguji pelajar cukup mengajar apa sebenarnya arah tuju pendidikan di Malaysia. Sunggupun Menteri Pelajaran Malaysia berjanji akan mengkaji semula pelaksanaan PBS namun apa yang guru-guru harapkan perlu ada satu makenisma yang terbaik dalam menjana dan membentuk pentaksiran untuk pelajar di sekolah.. Kita tidak mahu penambahbaikan yang kita rancang akan menimbulkan satu perang besar dalam kalangan guru. Ibarat  menarik rambut di dalam tepung , terma ini memerlukan penelitian yang mantap. Saat ini ujian selaras sedang berlangsung di MRSM, kelas yang terlibat dengan PBS tiada peperiksaan. Apatah lagi yang terlibat dengan program IGCSE tak tahu mana hujung pangkalnya. Ketiadaan guru dan buku yang belum mencukupi rona-rona di MRSM semakin menjadi menarik untuk difikirkan maksud penambahbaikan itu. Pastinya jangan biarkan tikus itu ada dan jangan berikan labu itu. Bagi guru-guru pula janganlah ambil labu itu dan terjun bersamanya. Ibarat si Luncai!

PENAMBAHBAIKAN DALAM HIDUP

Hadis Nabi SAW menyebut jadikan hari ini lebih baik daripada semalam menuntut segala pembaharuan dalam kehidupan ini. Pembaharuan disertai dengan penambahbaikan serta usaha yang digandakan sesuai dengan marfhum al-Quran iaitu bandingan orang-orang yang berjihad ke jalan Allah  dalam konteks ilmu perjuangan menuntut ilmu adalah ibarat biji benih yang tumbuh dan menghasilkan dahan serta tangkai sehingga 100 kali ganda jelas menyerlahkan perihal pentingnya penambahbaikan dalam segala aspek.

Berada di Sabah sehingga kini masuk tahun keempat, seakan frasa penambahbaikan itu terus-menerus berlaku ibarat air yang deras malahan ianya seakan seperti ombak yang dahagakan pantai yang berbatu yang lantas menghempas dengan suara jeritan yang mengilai ngeri. Ya, mengapa perlu ngeri dalam penambahbaikan apatah lagi sesuatu yang baharu dan baik akan wujud melaluinya. Hakikatnya  bagi diri ini tidak jika dinilai dalam aspek pembangunan fizikal di Sabah. Penambahbaikan telah memberikan rona-rona kesusahan yang menjemukan. Apa tidaknya sesuatu penambahbaikan yang melibatkan fizikal contohnya jalan raya perlu dibayar dengan nilai masa, wang ringgit pengguna jalan raya dan tekanan perasaan. Tidak seperti di Semenanjung yang segala tenaga pakar serta juruteranya melimpah serta sentiasa peka, keadaan di sini seakan menjelaskan bahawa penambahbaikan memerlukan perancangan yang teliti dan terancang serta berjadual bukan ikut suka dan rasa nak buat. Jika tak berjaya terus tinggal..Tegasnya penambahbaikan perlukan inovasi bukannya pucat lesi tak bermaya!